Sejarah Sekolah

Nama asal SMK membedai
Nama baru SMK Mutiara

Bangunan baru telah siap dibina pada tahun 2000
Perpindahan dari lokasi lama ke lokasi baru pada 2 November 2002
Nama baru diluluskan secara rasmi pada 17 Jun 2003

Lokasi asal Di Kem Tentera Membedai
Lokasi baru bersebelahan Hospital Nukleus dan berhadapan Institut Latihan Perindustrian Labuan.

Sehingga kini (tahun 2013), sekolah ini telah diterajui oleh 14 orang pengetua.

 

Baca lagi ……

 

Pada awal tahun 1970, pertambahan pelajar Sekolah Menengah di Labuan telah menyebabkan Jabatan Pendidikan Sabah mencari jalan untuk menempatkan mereka. SIK atau Sekolah Inggeris Kerajaan Labuan ( Kini dikenali sebagai SMK Labuan) yang menjadi pilihan ketika itu, tidak dapat lagi menampung bilangan pelajar yang layak ke Sekolah Menengah. Ramai ibu bapa yang gelisah kerana risau anak-anak mereka tidak dapat menyambung pelajaran.
Pada waktu yang sama, sebuah sekolah telah siap dibina di kawasan Kompleks tentera di Membedai yang bertujuan memberi pendidikan rendah kepada anak-anak tentera. Oleh kerana kegawatan yang dihadapi, maka perbincangan telah diadakan di antara Jabatan Pendidikan Sabah, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Pejabat Pendidikan Labuan untuk menjadikan Sekolah yang telah siap dibina itu sebagai Sekolah Menengah.

Persetujuan telah dicapai dalam perbincangan tersebut, dan awal tahun 1971 dengan rasminya Sekolah Menengah Menengah Kebangsaan Membedai ditubuhkan. Orang yang mencadangkan nama tersebut ialah penolong Kanan 1 SIK iaitu En. Mak Yun Ken yang akhirnya menjadi Pengetua pertama Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai.
Sepanjang tahun 1971 – 1996 iaitu kira-kira 25 tahun, sekolah Menengah Kebangsaan Membedai hanya menawarkan pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja. Tahun 1997 adalah tahun bersejarah bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Membedai yang memecahkan tradisinya, dengan membuka kelas tingkatan 4 aliran sastera. Seramai 120 orang pelajar ditawarkan untuk mengikutinya.

Pada bulan Oktober 2001 adalah merupakan tahun yang agak kritikal bagi SMK Membedai kerana Blok A telah dirobohkan untuk projek naik taraf di bawah peruntukan Jabatan Pendidikan Negeri, WP. Labuan yang mana 4 buah kelas tingkatan 5, sebuah surau , sebuah makmal komputer, Bilik APD & Pusat Sumber telah terlibat dengan projek naik taraf ini. Ini mengakibatkan sekolah menghadapi masalah kekurangan bilik darjah.

Masalah ini bertambah rumit apabila blok B pula dirobohkan pada pertengahan bulan Oktober untuk projek naik taraf di bawah peruntukan Kementerian Pertahanan Malaysia. Di bawah projek ini pihak sekolah menghadapi masalah kekurangan 9 bilik darjah dan dua buah makmal. Untuk mengatasi masalah ini pelajar – pelajar terpaksa menggunakan Bengkel Kemahiran Hidup dan dewan untuk aktiviti pembelajaran. Kelas –kelas terapung juga terpaksa diwujudkan untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah. Pada masa yang sama Sekolah Rendah Membedai sebuah sekolah rendah yang menumpang di Sekolah Rendah Pekan II telah mendesak untuk menduduki bangunan SMK Membedai kerana SK. Pekan II juga dirobohkan dalam projek naik taraf.

Bertitik tolak daripada semua masalah ini, pihak pentadbir sekolah telah membuat perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan memohon secara rasmi kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk menduduki SMK Labuan II untuk memberi suasana yang lebih kondusif kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan November 2001. Atas alasan-alasan yang konkrit dan keadaan yang amat mendesak pihak Jabatan Kerja Raya telah memberi kebenaran secara lisan untuk pihak sekolah menduduki bangunan SMK Labuan II.

Pada 02 November 2001, maka berlakulah perpindahan secara menyeluruh warga SMK Membedai ke SMK Labuan II. SMK Membedai tetap mengekalkan namanya untuk melicinkan pentadbiran bagi suatu jangka masa yang tertentu.
Selama 32 tahun berkhidmat memberi pendidikan kepada anak-anak di Labuan, SMK Membedai telah diterajui oleh beberapa orang pengetua, Encik Osman Mahali yang telah bersara merupakan Pengetua yang paling lama berkhidmat di SMK Membedai setakat ini iaitu selama 13 tahun (1980 – 1993).Pada 01November 2001 sehingga akhir tahun 2003, SMK Membedai di tadbir di bawah pengelolaan Puan Maimoon Matnoh, pengetua yang ke lapan.

Pada akhir tahun 2003 berlaku lagi perubahan. Pertukaran Pengetua iaitu Pn Hajjah Zaleha Hj Siran. Beliau telah menukarkan nama SMK Membedai. Awal tahun 2004, secara rasminya, SMK Mutiara telah diistiharkan sebagai nama baru menggantikan SMK Membedai. Beliau telah berkhidmat sebagai pengetua di sini sehingga tahun 2005.
Manakala pada tahun 2006 hingga 2007, sekolah ini ditadbir oleh pengetua yang lain iaitu Pn. Hjh. Fudziah binti Sulaiman. Namun begitu, beliau hanya sempat berkhidmat di sini selama hampir satu tahun kerana masalah kesihatan. Pada tahun 2008 hingga 2011 pula, berlaku sekali lagi pertukaran pengetua yang lain iaitu Pn. Hjh. Zamzam binti Abdul Rashid. Beliau telah berkhidmat di sini selama hampir empat tahun. Namun begitu, khidmat beliau tidak berpanjangan setelah diarahkan bertukar ke sekolah lain iaitu SMK Lajau.

Bagi menggantikan Pn. Hjh. Zamzam, pada tahun 2011, berlaku pertukaran pengetua yang baru iaitu En. Sahar bin Misron. Beliau merupakan pengetua yang ke 13 berkhidmat di sekolah ini. Namun begitu khidmat En Sahar sebagai pengetua di sini tidak lama Ia hanya berkhidmat di sini sehingga awal tahun 2012. Selepas itu, khidmat beliau diganti pula oleh pengetua yang ke 14 iaitu En Louren Abon. En. Louren menerajui pentadbiran SMK Mutiara bemula awal tahun 2012 sehingga sekarang (2013).